Brunei Sahkan Penyertaan Rasmi ke Regatta Lingga 2025

Disiarkan pada 07 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BANDAR SERI BEGAWAN: Delegasi Jawatankuasa Induk Regatta Lingga yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERKIBAR) di Stadium Hassanal Bolkiah, pada Rabu.

Kunjungan ini bertujuan untuk menjemput secara rasmi pasukan lumba perahu Brunei menyertai Regatta Lingga 2025 yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 30 November 2025.

Taklimat penganjuran turut disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk, Mohd. Hamzan Yahya, yang memaklumkan tentang acara baharu dan peningkatan hadiah wang tunai termasuk acara utama “Battle of Titan”.

PERKIBAR menyambut baik pelawaan tersebut dan mengesahkan penyertaan satu pasukan rasmi mewakili Brunei.

Dalam perkembangan lain, pihak penganjur turut memeterai kerjasama media yang bakal menyaksikan liputan langsung Regatta Lingga melalui Radio Brunei, Harmoni FM dengan kehadiran pengulas rasmi dari Brunei.

Perbincangan dua hala juga membuka ruang pertukaran pandangan serta pengalaman penganjuran acara serantau, dengan PERKIBAR berkongsi input berharga dalam aspek pengurusan perlumbaan dan pembangunan sukan perahu tradisional.

ADUN Lingga menyatakan harapan agar kerjasama ini menjadi asas kukuh dalam mempererat hubungan dua hala antara Sarawak dan Brunei, khususnya dalam memperkasa sukan warisan dan kebudayaan maritim rantau ini.-EDISI UKAS