LINGGA: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) disaran memainkan peranan lebih proaktif dalam kesiapsiagaan dan pengurusan risiko bencana di peringkat komuniti.
Saranan itu disuarakan Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Wabak Daerah Bil.1/2025 yang berlangsung di sini, pada Rabu.
Menurut Frank, KMKK perlu menjadi penghubung utama antara agensi kerajaan dan penduduk kampung dengan menyampaikan maklumat sahih, memberi peringatan mengenai larangan pembakaran terbuka serta menyelaras tindakan awal semasa kecemasan.
Beliau turut menekankan bahawa KMKK bertanggungjawab memastikan laporan berkaitan bencana disalurkan secara tepat kepada pihak berkuasa.
Mesyuarat itu turut disertai oleh agensi teknikal seperti JBPM, APM, JBALB dan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman, membincangkan isu seperti gelombang haba, jerebu, dan pelan tindakan sempena Monsun Barat Daya.
Isu tekanan air di beberapa kampung turut dibangkitkan, dengan cadangan agar JBALB menilai semula kapasiti sistem bekalan sedia ada.
Cadangan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela bagi kawasan pedalaman turut mendapat perhatian, memandangkan jarak balai bomba sedia ada yang jauh menyukarkan tindak balas kecemasan.
KMKK juga digesa menyemak semula lokasi pili bomba dan menggalakkan penyediaan alat pemadam api di rumah panjang serta premis awam.
Frank turut menekankan keperluan latihan kesiapsiagaan kepada KMKK, belia dan sukarelawan agar komuniti lebih bersedia menghadapi bencana dari segi mental, fizikal dan logistik.-EDISI UKAS