KUCHING: Denmark melihat Sarawak sebagai rakan kerjasama berpotensi besar dalam pelbagai sektor, terutama sejajar dengan komitmen negeri ini terhadap agenda peralihan tenaga dan pembangunan mampan.
Duta Besar Denmark ke Malaysia, Kirstine Vangkilde Berner, berkata pihaknya amat teruja untuk meneroka dan memperkukuh lagi kerjasama dua hala antara Denmark dan Sarawak, khususnya dalam bidang teknologi hijau.
“Kami mempunyai kehadiran kukuh di Denmark melalui syarikat-syarikat kami yang berpengalaman luas dan mempunyai tradisi lama dalam teknologi hijau daripada hidrogen hijau, bahan api penerbangan mampan (SAF) hinggalah ke teknologi penangkapan karbon.
“Kami memahami keseluruhan rantaian nilai dalam industri ini dan percaya terdapat potensi besar untuk dimanfaatkan bersama. Maka, kami sangat teruja dapat berada di sini dan berharap kerjasama ini dapat dilanjutkan serta diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Khamis.
Kirstine menambah, pendidikan turut menjadi antara bidang utama yang dibincangkan, dengan Denmark menyatakan kesediaan menyokong aspirasi dan pelan pendidikan Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa Denmark juga berminat untuk meneroka peluang dalam bidang aeroangkasa dan kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi global.
Dalam pertemuan itu, Kirstine turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Premier Sarawak untuk melawat Denmark, sebagai satu lagi langkah memperkukuh hubungan dua hala dan memantapkan lagi potensi kerjasama yang telah dikenal pasti.
Turut hadir mengiringi ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak di Kementerian Luar Negeri Fenny Nuli.-EDISI UKAS