BINTANGOR: Pasukan lelaki dan perempuan bawah 14 tahun (U14) Kelab Bola Tampar Meradong 14TKB dijangka memberi saingan sengit dalam Kejohanan Bola Tampar U14 Peringkat Sarawak yang akan berlangsung di Sibu dari 14 hingga 17 Ogos ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata beliau amat yakin pasukan itu mampu mencapai kejayaan yang diimpikan hasil bimbingan barisan jurulatih berpengalaman.
“Saya percaya semangat juang dan latihan intensif yang telah dilalui akan membuahkan hasil. Teruskan usaha dan bawa nama Meradong ke tahap lebih tinggi dalam arena sukan bola tampar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Kelab Bola Tampar Meradong 14TKB, yang berlangsung di Dewan Chen Ling Mei, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung di sini, pada Rabu.
Datuk Ding turut menzahirkan penghargaan kepada Kelab Bola Tampar Meradong atas komitmen berterusan dalam mencungkil bakat baharu setiap tahun.
Beliau juga tidak ketinggalan memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada para pemain sebelum berangkat ke kejohanan.
Majlis turut dihadiri wakil kepada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii iaitu Wong Soon Mee, serta Pengerusi Lembaga Sekolah SMK Kai Chung, Dato Ung Sing Ung dan barisan jurulatih pasukan.-EDISI UKAS