MIRI: Selaras dengan dasar Kerajaan Sarawak untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global, lima pelajar Kejuruteraan Kimia dari Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) telah menyertai Program Musim Panas Kejuruteraan Kimia ENTECH Antarabangsa di Thailand, baru-baru ini.
Pelajar terpilih ialah Austin Jason Pui, Ashley Bernadette Simon Augustine August, Resty James, Irfa Safrina Rahmat dan Nur Amirah Haziqah Ismail.
Program anjuran Universiti Silpakorn itu menghimpunkan pelajar dari Curtin Malaysia, Universiti Kumamoto (Jepun) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), dengan sokongan institusi ternama seperti Universiti Nagoya (Jepun) dan Universiti Chulalongkorn (Thailand).
Program empat hari tersebut menawarkan pendedahan akademik, pertukaran budaya dan peluang jaringan antarabangsa.
Antara pengisian termasuk bengkel kelestarian, lawatan industri, serta pembentangan oleh akademik antarabangsa seperti Profesor Armando T. Quitain (Universiti Kumamoto) dan Profesor Madya Dr. Worapon Kiatkittipong (Universiti Silpakorn).
Kumpulan dari Sarawak turut mencipta kejayaan apabila Resty James bersama Irfa Safrina Rahmat dan Ashley Bernadette Simon Augustine memenangi Anugerah Persembahan Terbaik menerusi cadangan inovatif meningkatkan pengeluaran gula kelapa secara mampan.
Selain aktiviti akademik, peserta berpeluang mengikuti pengalaman budaya seperti membuat pencuci mulut tradisional Thai, celupan kain tie-dye, serta lawatan ke Pasar Terapung Amphawa, Pasar Keretapi Maeklong dan Phra Pathommachedi yang merupakan stupa tertinggi di dunia.
Profesor Madya Bridgid Chin dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Curtin Malaysia, yang mengiringi kumpulan itu berkata, program tersebut sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan jurutera berkemahiran global yang mampu menyelesaikan cabaran dunia sebenar.
Beliau turut menghargai sokongan berterusan Kerajaan Sarawak, khususnya Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.
“Penglibatan pelajar dalam program berimpak tinggi seperti ini memberi mereka ilmu, kemahiran dan perspektif antarabangsa yang penting bagi menyumbang kepada pembangunan mampan negeri dan negara,” katanya.-EDISI UKAS