KUCHING: Upacara Bulanan Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi edisi Ogos akan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki pada 10 Ogos ini di Dataran Pertiwi, Kuching.
Sebagaimana tradisi yang dimulakan sejak Julai 2024, bendera gergasi Ibu Pertiwi simbol kebanggaan rakyat Sarawak akan dikibarkan dengan penuh adat dan tertib pada tiang setinggi 99.4 meter.
Bendera tersebut berukuran 25 meter panjang dan 12.4 meter lebar, melambangkan semangat jati diri serta perpaduan warga kota yang terus utuh.
Majlis akan dimulakan dengan persembahan Pasukan Kawalan Kehormatan Setempat dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), diikuti dengan nyanyian lagu kebesaran negeri, Ibu Pertiwi.
Bagi memeriahkan suasana, persembahan khas berunsurkan seni dan budaya tempatan turut disediakan, mencerminkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di bumi Kenyalang.
Menurut kenyataaan DBKU hari ini, upacara bulanan ini berperanan sebagai platform memperkukuh semangat patriotisme, menyemai rasa cinta kepada tanah air, serta mempererat perpaduan antara kaum.
Ia juga sejajar dengan aspirasi kepimpinan negeri dalam membina masyarakat yang bersatu padu dan berjiwa besar.
“DBKU amat berterima kasih atas bimbingan Premier Sarawak yang sentiasa mendorong pelaksanaan program-program berteraskan nilai murni seperti ini.
"Komitmen beliau menjadi pemangkin kepada usaha meneruskan tradisi ini sebagai simbol keharmonian dan kebanggaan negeri,” kata kenyataan itu.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis bersejarah ini dan bersama-sama menyemarakkan semangat kenegaraan serta perpaduan dalam kalangan warga bandar raya.-EDISI UKAS