Lebih 70 Petinju Berentap di Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2025

Disiarkan pada 06 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Lebih 70 petinju dari seluruh negara bakal berentap dalam Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2025 (Edisi Ke-4) yang akan berlangsung dari 18 hingga 23 Ogos ini di Stadium Tertutup Sri Aman.

Exco Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Gulbudin Hekmateyer Rahman berkata, kejohanan kali ini bukan sahaja mengetengahkan bakat tempatan dan kebangsaan, malah menjadi medan penting bagi persediaan akhir serta pemilihan petinju negeri menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

“Kejohanan ini merupakan platform terbaik untuk menilai kemampuan petinju dalam negeri.

"Ia juga sebagai persiapan strategik Sarawak dalam membentuk pasukan tinju yang mantap menjelang SUKMA tahun depan,” katanya dalam sidang media kejohanan tersebut di Stadium Tertutup Sri Aman pada Rabu.

Kejohanan ini dijangka dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Anak Hollis, pada 19 Ogos kelak.

Sebanyak enam kategori akan dipertandingkan iaitu Elit Lelaki, Elit Wanita, Remaja Lelaki, Remaja Wanita dan Junior Lelaki yang dijangka menampilkan saingan sengit antara petinju berpengalaman dan muka baharu dalam arena tinju tanah air.

Acara berprestij ini dianjurkan oleh Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Majlis Sukan Negeri Sarawak.

Kejohanan ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara petinju berpengalaman dan muka baharu dalam arena tinju tanah air, sekaligus memeriahkan lagi landskap sukan tempatan khususnya di Sarawak. -EDISI UKAS