Naik Taraf Jalan Sungai Dalam, Riam Siap Awal Daripada Jadual

Disiarkan pada 06 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Projek menaik taraf Jalan Sungai Dalam di Riam, Miri yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal, sekali gus membuktikan kecekapan dan prestasi cemerlang pihak pelaksana.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata projek naik taraf Jalan Sungai Dalam yang melibatkan kerja pelebaran dan penurapan semula sepanjang 1.2 kilometer telah berjaya disiapkan pada 28 Julai lalu, iaitu lebih awal berbanding tarikh jangkaan asal iaitu 8 Ogos 2025.

“Projek yang menelan belanja RM300,000 itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf beberapa laluan utama di kawasan tersebut dan dilihat mampu meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke beberapa tapak projek infrastruktur di kawasan DUN Senadin pada Rabu.

Antara lokasi yang dilawati termasuk Jalan Sungai Dalam, kawasan Tadika Methodist Riam dan Jalan Taman Tung San.
Lawatan ke tapak projek turut disertai oleh pegawai dari Pusat Khidmat DUN Senadin, jurutera Majlis Bandaraya Miri (MBM) serta kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan projek berkenaan.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut memuji mutu kerja yang ditunjukkan dan menyarankan agar Majlis Bandaraya Miri menyimpan rekod prestasi kontraktor berkenaan sebagai rujukan untuk pemilihan kontraktor bagi projek-projek akan datang.

Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau kawasan Tadika Methodist Riam yang merupakan tapak cadangan bagi pembinaan tempat letak kereta baharu.

Tapak itu sebelum ini berdepan isu teknikal berkaitan kedudukan tiang elektrik berhampiran, namun masalah tersebut telah berjaya diselesaikan dengan kerjasama pihak Sarawak Energy.

Selain itu, Dato Sri Lee turut meninjau projek penurapan semula Jalan Taman Tung San yang telah disiapkan di bawah peruntukan MARRIS 2025 dengan kos sebanyak RM139,700.

Tegasnya, inisiatif seperti ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam membangunkan kawasan pinggir bandar demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS