MIRI: Projek naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata antara komponen utama dalam projek naik taraf tersebut termasuk pembinaan pondok tambahan bagi kegunaan imigresen dan kastam, pelebaran jalan bagi menambah empat lorong baharu, serta pembinaan kemudahan tandas awam untuk kegunaan orang ramai.
“Kita mahu projek ini disiapkan sebelum hujung tahun ini supaya menjelang Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Gawai tahun depan, kita dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di pintu sempadan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke kompleks sempadan itu bagi meninjau kemajuan fizikal projek serta menerima taklimat teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor yang bertanggungjawab pada Selasa.
Selain itu, Dato Sri Lee turut menegaskan bahawa projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak sebagai respon kepada aduan pengguna jalan raya, khususnya berkaitan kesesakan teruk di ICQS Sungai Tujoh ketika musim perayaan dan hujung minggu.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek, beliau mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas yang melibatkan JKR, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam yang akan berfungsi sebagai platform penyelarasan teknikal serta memantau kemajuan secara berkala.
Sebagai langkah pengurusan trafik sementara, kerja-kerja pembinaan utama dicadangkan dijalankan pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Khamis untuk mengurangkan kesan terhadap aliran trafik yang tinggi pada hujung minggu.
Dalam masa yang sama, JKR turut diminta menyemak semula jadual projek dan menyelesaikan segera isu teknikal termasuk masalah cerucuk yang dikatakan menjadi antara faktor kelewatan.
“Saya minta JKR dan kontraktor tingkatkan usaha serta cari jalan mempercepatkan pelaksanaan supaya projek ini dapat disiapkan mengikut sasaran,” tegasnya lagi.-EDISI UKAS