AUBS 2025 Platform Ikon Usahawan Bumiputera Sarawak

Disiarkan pada 06 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) kembali lagi pada tahun ini bagi mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan usahawan Bumiputera terhadap kelestarian pembangunan ekonomi negeri.

Penasihat (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Naroden Majias berkata, AUBS mula diperkenalkan pada tahun 2010 dan kali terakhir dianjurkan pada 2023.

Menurutnya, edisi kali ini dianjurkan melalui kerjasama antara MINTRED, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) serta Idris Ibrahim & Co Groups of Companies (IIG) di mana majlis kemuncak penyampaian anugerah dijadualkan berlangsung pada 27 September 2025 di Kuching.

“Sebanyak tiga kategori utama ditawarkan dalam AUBS 2025 iaitu Anugerah Usahawan Bumiputera Cemerlang, Anugerah Usahawan Berjaya merangkumi 10 penerima dalam pelbagai sektor serta Anugerah Usahawan Harapan yang merangkumi golongan wanita, lelaki dan belia di bawah umur tertentu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media AUBS Edisi Ke-7 bagi mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadualkan untuk menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut.

Jelasnya, setiap pemenang akan menerima trofi dan sijil penghargaan, serta berpeluang mewakili Sarawak ke peringkat lebih tinggi seperti Sarawak Entrepreneur Award of the Year (EOYS) serta anugerah nasional dan antarabangsa lain yang berkaitan.

Justeru, beliau mengajak para usahawan Bumiputera di seluruh negeri untuk merebut peluang ini dan menjadikan AUBS sebagai platform penting bagi mengetengahkan kejayaan serta potensi masing-masing.

Difahamkan, pencalonan untuk AUBS 2025 telah dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada 14 Ogos 2025.
Turut hadir Presiden DUBS Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan, wakil Setiausaha Tetap MINTRED Connie Christopher Kesa, Pengerusi AUBS 2025 Juita Drap serta Timbalan Pengerusi AUBS 2025 Kaunselor Halim Muhamad.-EDISI UKAS