KUCHING: Sarawak terus menegaskan komitmennya terhadap pembangunan lestari dan inovasi teknologi menerusi penganjuran Persidangan Antarabangsa Sains Gunaan Lanjutan dan Kelestarian 2025 (ICAAS 2025) yang membuka tirainya di Kuching pada Rabu.
Persidangan berprestij anjuran bersama Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Lembaga Pembangunan Industri Perkayuan Sarawak (STIDC), dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu dirasmikan oleh Pengurus Besar STIDC, Zainal Abidin Abdullah.
Dalam ucapannya, beliau berkata ICAAS 2025 merupakan platform penting dalam memperkukuh rangkaian kerjasama saintifik dan teknologi demi pembangunan lestari.
“Adalah satu penghormatan besar buat saya untuk menyambut semua hadirin ke ICAAS 2025 yang menjadi platform penting dalam memperkukuh rangkaian kerjasama saintifik dan teknologi demi pembangunan lestari,” katanya.
Beliau menekankan bahawa Sarawak amat bertuah kerana dikurniakan sumber semula jadi yang melimpah seperti hutan hujan tropika dan biodiversiti yang kaya, namun pendekatan berasaskan kelestarian perlu menjadi prinsip utama agar khazanah ini terus diwarisi generasi akan datang.
Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), kerajaan negeri katanya menekankan keseimbangan dalam aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar, sejajar dengan cabaran global seperti perubahan iklim.
“Tema persidangan tahun ini, ‘Innovating for a Sustainable Future: Integrating Advanced Applied Sciences for Global Impact’ jelas menunjukkan komitmen kita bersama dalam menangani cabaran dunia melalui penyelidikan dan kemajuan teknologi,” tambah beliau.
ICAAS 2025 menyaksikan penyertaan memberangsangkan lebih 140 peserta yang hadir secara fizikal sebagai pembentang dan pendengar.
Sebanyak 75 pembentangan kertas kerja merangkumi 14 berkaitan kayu, 14 berkaitan makanan, 14 berkaitan kejuruteraan, 10 sesi dalam talian dan 10 sesi poster.
Manakala, 13 video rakaman turut disertakan, melibatkan 67 pembentang tempatan dan lapan antarabangsa.
Dalam pada itu, Zainal turut menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama dalam memelihara serta memajukan sumber semula jadi Sarawak agar terus berdaya saing di peringkat global.
Dalam ucapan beliau, Zainal menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur dan semua peserta atas kehadiran mereka, serta mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat, Naib Canselor UTS, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid.
“Bersama-sama, marilah kita membentuk masa depan Sarawak yang lebih hijau, makmur dan inovatif demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang,” ujar beliau mengakhiri ucapan.-EDISI UKAS