AI, TVET dan Tenaga Boleh Diperbaharui Pemacu Masa Depan Mampan

Disiarkan pada 06 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kecerdasan Buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta tenaga boleh diperbaharui merupakan tiga tonggak utama yang mampu memacu pembangunan mampan sejajar dengan matlamat global lestari.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ketiga-tiga elemen ini bukan sahaja bersifat visi, malah amat relevan dengan realiti dunia hari ini yang sedang mengalami transformasi pesat.

“AI, TVET dan tenaga boleh diperbaharui membentuk gabungan kukuh yang dapat memacu kita ke arah masa depan yang mampan, inklusif dan inovatif.

“Ketiga-tiganya bukanlah bidang yang terpisah, tetapi strategi saling berkait yang mesti dibangunkan secara harmoni.

“AI menyediakan kecerdasan untuk menganalisis, meramal dan mengoptimumkan, TVET membekalkan kemahiran untuk bertindak, membina dan melaksana manakala tenaga boleh diperbaharui menyediakan kelestarian untuk melindungi dan memelihara,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Inovasi ke-8 (TECHON) 2025 di sini pada Rabu.

Tambahnya, perubahan iklim bukan lagi kebimbangan masa depan, tetapi krisis yang sedang berlaku ditambah lagi dengan gangguan ekonomi, jurang digital dan perubahan pasaran pekerjaan sedang mentakrifkan semula cara hidup, belajar dan bekerja dalam landskap yang sentiasa berubah.

Justeru katanya, TECHON 2025 menjadi platform penting yang menghimpunkan pelbagai pihak untuk berkongsi idea, penyelidikan dan amalan terbaik bagi memperkukuh agenda kelestarian global melalui tiga tonggak iaitu AI, TVET dan Tenaga Boleh Diperbaharui.

“Mari kita gunakan platform ini untuk mengemukakan soalan kritikal, mencabar pemikiran konvensional dan membina jambatan merentasi disiplin, institusi serta negara.

“Marilah kita saling memberi inspirasi untuk memimpin dengan tujuan yang jelas dan bekerjasama dalam mengejar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” ujarnya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine. -EDISI UKAS