JKM Agih Lebih 600 Kotak Air Minuman Kepada Penduduk Terjejas

Disiarkan pada 05 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Kuching melaksanakan dua sesi penyerahan bantuan air minuman di bawah inisiatif bantuan musim kemarau bagi penduduk terjejas di Kampung Petag dan Kampung Sitang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, hari ini.

Majlis penyerahan pertama diadakan di Balai Raya Kampung Petag melibatkan agihan sebanyak 266 kotak air minuman kepada 28 keluarga yang dikenal pasti.

Penyerahan disempurnakan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching, Mariam Ensabi bersama empat orang pegawai JKM yang lain.

Turut hadir, Ketua Kaum Kampung Petag, Mecca Sadjoy serta dua orang wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sementara itu, majlis penyerahan kedua berlangsung di Kampung Sitang membabitkan 420 kotak air minuman yang diagihkan kepada 36 keluarga yang terkesan akibat musim kemarau.

Penyerahan turut diketuai oleh Mariam bersama pasukan JKM dan disaksikan oleh Ketua Kaum Kampung Sitang, Joseph Merot Nyokin.

Bantuan ini merupakan respons segera pihak JKM bersama agensi berkaitan dalam menangani impak cuaca kering terhadap komuniti luar bandar yang bergantung kepada sumber air semula jadi.-EDISI UKAS