Keselesaan Penduduk Diutamakan, Lorong Pejalan Kaki Kampung Annah Sibuang Dinaik Taraf

Disiarkan pada 05 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Satu lawatan tapak bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong telah diadakan hari ini di Kampung Annah Sibuang bagi meninjau pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf lorong pejalan kaki di kampung berkenaan.

Lawatan tersebut diketuai oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil, iaitu Keron Mapus.

Turut serta dalam lawatan ialah Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching selaku agensi pelaksana, serta Ketua Kaum Kampung Annah Sibuang, Hasan Agon.

Projek bernilai RM250,000 itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf lorong dan jalan pejalan kaki di sekitar kampung, demi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk, khususnya warga emas dan pelajar sekolah.

Projek ini dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat sebaik sahaja proses dokumentasi dan teknikal dimuktamadkan oleh pihak JKR bersama kontraktor yang dilantik

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Datuk Dr. Jerip dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur asas yang lebih inklusif dan mesra rakyat sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.-EDISI UKAS