BELAGA: Aksi sengit sembilan acara bot laju mewarnai hari kedua penganjuran Belaga Regatta 2025 yang berlangsung meriah di Pentas Kedua Belaga Waterfront pada Isnin, menyaksikan pasukan dari pelbagai daerah berentap penuh semangat bagi merebut gelaran juara dalam kategori masing-masing.
Perlumbaan yang bermula seawal pagi itu membuka tirai dengan acara 40KK 2 Piston Bangkut Tertutup Acara 2, yang menyaksikan dominasi penuh pasukan Team Tegalan apabila berjaya merangkul tempat pertama (RT No. 71) dan naib juara (RT No. 68).
Manakala Team Sekapan Piit menamatkan saingan di tempat ketiga.
Persaingan terus hangat dalam kategori 18KK Tunnel Terbuka Acara 2 apabila Sigat Timang Group muncul juara, diikuti rapat oleh Team Guan dan Jaguar Murum Powerboat Club yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori 30KK 2 Piston Tunnel Terbuka Acara 2, Burung Ensing Racing Team berjaya menamatkan perlumbaan dengan kemenangan bergaya. Tempat kedua menjadi milik Team Black Mamba manakala Speed Jabai Jet di tempat ketiga.
Sementara itu, bagi kategori 50KK Ke Bawah Tunnel Terbuka Acara 2, Team Viper Sting Ray berjaya mengungguli kedudukan pertama.
Jaguar Murum Powerboat Club sekali lagi mengukir nama dengan tempat kedua, manakala Team Slebew/RJ Racing menutup podium di tempat ketiga.
Seperti lazimnya, pemenang tempat pertama hingga ketiga menerima piala dan wang tunai, manakala tempat keempat dan kelima menerima hadiah saguhati sebagai tanda penghargaan penyertaan.
Turut hadir menyaksikan kehangatan perlumbaan ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang.
Perlumbaan bot laju hari ini turut mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung, dengan kehadiran orang ramai yang membanjiri tebing Sungai Batang Balui sejak awal pagi bagi menyaksikan kehangatan saingan di air.
Belaga Regatta bukan sekadar pentas perlumbaan, malah menjadi medan mengukuhkan perpaduan, menyemai semangat kekitaan serta menghidupkan tradisi komuniti yang terus diwarisi dari generasi ke generasi.-EDISI UKAS