BLM Meradong Sasar Pelajar dan Golongan Kurang Mampu, Bantu Capai Lesen Memandu Sah

Disiarkan pada 05 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Program Bantuan MyLesen Memandu (BLM) Kelas B2 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong menyasarkan pelajar berusia 16 tahun dan golongan kurang mampu untuk memiliki lesen motosikal yang sah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, borang penyertaan boleh didapati di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Meradong dan perlu dihantar semula ke pusat tersebut setelah lengkap diisi.

“Sebarang bayaran hanya akan dimaklumkan oleh pihak Akademik Memandu Ing Sarikei yang turut bekerjasama menjayakan program ini bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat pelaksanaan program tersebut di Pejabat Daerah Meradong pada Selasa.

Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan keselamatan jalan raya serta memupuk pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang sedia ada.

Ia juga sebagai usaha menangani isu pemilikan lesen yang tidak sah dalam kalangan masyarakat luar bandar dan kurang mampu.

Antara syarat penyertaan termasuklah warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan mental, dan tergolong dalam kalangan pelajar, masyarakat dalaman serta mereka yang menerima bantuan kerajaan.

Pendaftaran calon dan taklimat melibatkan ceramah Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) serta Ujian Bertulis Bahagian I akan diadakan pada 20 September 2025 oleh Akademik Memandu Ing Sarikei dan JPJ Cawangan Sarikei.

Majlis Penutupan Rasmi Program BLM DUN Meradong dijadualkan berlangsung pada 22 November 2025 di Stadium Chen Ling Mei, SMK Kai Chung, dan akan disempurnakan oleh Datuk Ding sendiri.-EDISI UKAS