KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Sains, Teknologi dan Tenaga Republik Singapura, Dr Tan See Leng, di Astana Negeri Sarawak, pada Selasa.
Dalam pertemuan tersebut, Dr Tan berkongsi pandangan dan maklumat berkaitan beberapa perkara penting, termasuk perkembangan reformasi undang-undang di peringkat nasional, pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta inisiatif ‘up-skilling’ dan ‘re-skilling’ yang lebih menyeluruh, terutamanya bagi komuniti luar bandar di Sarawak.
Sebagai tanda hubungan mesra dua hala, Dr Tan turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi untuk mengadakan lawatan balas ke Singapura dalam masa terdekat.
Terdahulu, delegasi dari Singapura itu turut mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, yang baru sahaja dirasmikan semalam.
Kunjungan ini mencerminkan usaha berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik khususnya dalam bidang tenaga, pendidikan teknikal dan inovasi.-EDISI UKAS