Perkhidmatan Bergerak KGC & SCHB Kembali Pada 9 & 10 Ogos Ini

Disiarkan pada 05 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Perkhidmatan Bergerak Kaunter Setempat bagi permohonan Kenyalang Gold Card (KGC) dan Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) akan kembali dianjurkan pada hujung minggu ini, susulan sambutan menggalakkan yang diterima sebelum ini daripada masyarakat tempatan.

Program anjuran Pusat Khidmat DUN Senadin dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri itu akan berlangsung selama dua hari di dua lokasi utama iaitu di Emart Tudan pada 9 Ogos 2025 dan Emart Riam pada 10 Ogos 2025 dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Program ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan Sarawak dalam menyampaikan perkhidmatan secara langsung dan mesra rakyat, terutamanya kepada golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Melalui kaunter bergerak ini, warga emas boleh memohon dan terus menerima Kenyalang Gold Card (KGC) di lokasi, serta mendaftar untuk skim SCHB dengan bimbingan dan pengesahan Ketua Kaum atau Kapitan.

Program kali ini merupakan lanjutan daripada siri sebelum ini yang berlangsung pada 26 dan 27 Oktober serta 2 dan 3 November 2024 yang berjaya mengumpulkan lebih 7,000 permohonan dalam tempoh empat hari.

Turut menyokong pelaksanaan program kali ini ialah AFFIN Bank Sarawak, yang akan membuka kaunter khas bagi urusan pembukaan akaun dan penerangan produk kewangan, Telekom Malaysia (TM) menyumbang dari segi capaian internet bagi melicinkan pemprosesan data serta Pengurusan Emart Tudan dan Riam menyediakan lokasi penganjuran.

Orang ramai yang ingin hadir disarankan membawa MyKad serta dokumen sokongan berkaitan bagi melancarkan urusan pendaftaran.-EDISI UKAS