Klinik Luar Bandar Sarawak Perlu Dibina Semula, Lengkap Dengan Kemudahan Moden

Disiarkan pada 05 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Beberapa klinik kesihatan di kawasan luar bandar Sarawak disaran untuk dinaik taraf atau dibina semula sepenuhnya berikutan keadaan fizikal yang uzur serta kemudahan yang tidak lagi mencukupi bagi menampung keperluan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, terdapat empat klinik utama di kawasan DUN Pantai Damai iaitu di Telaga Air, Kampung Buntal, Kampung Santubong dan Bandar Semariang.

Ujarnya, majoriti klinik ini sudah berusia lebih 40 tahun serta dibina menggunakan struktur kayu yang tidak lagi sesuai untuk penggunaan jangka panjang.

“Klinik Santubong sudah menerima dana untuk pembinaan bangunan baharu tapi saya memohon agar perhatian sama diberikan kepada klinik Telaga Air dan Buntal yang kini dalam keadaan sangat daif,” katanya demikian semasa program lawatan ke Klinik Kesihatan Telaga Air pada Selasa.

Tambahnya, penduduk di kawasan Telaga Air sahaja mencecah lebih 7,000 orang melibatkan sembilan buah kampung yang bergantung kepada satu klinik lama di samping projek pembangunan seperti pembinaan kampus Universiti ICAT yang berdekatan dijangka menambah kepadatan kawasan tersebut dalam masa terdekat.

Sebagai langkah awal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menyarankan supaya penstrukturan semula klinik dilakukan mengikut kelas perkhidmatan – daripada Type 6 (asas) kepada Type 5 dan seterusnya, lengkap dengan pegawai perubatan, juruteknologi makmal dan kemudahan farmasi.

Sekiranya mampu jelasnya, kemudahan ini boleh dinaik taraf kepada Type 4 bagi menampung keperluan populasi yang semakin berkembang.

“Sama seperti pembinaan semula sekolah-sekolah daif, saya mohon agar pendekatan yang sama diambil untuk menaik taraf atau membina semula klinik-klinik ini.

"Kita mahu rakyat Sarawak mendapat perkhidmatan kesihatan yang setaraf dengan negeri-negeri lain,” tambahnya. -EDISI UKAS\