KUCHING: Tiga projek perumahan yang diklasifikasikan sebagai projek “sakit” di Kuching kini siap sepenuhnya selepas mengalami kelewatan bertahun-tahun, sekali gus memberi kelegaan kepada para pembeli rumah yang terjejas.
Tiga projek berkenaan ialah Taman Millennium dan Taman Greenwoods di Matang serta Fu Yu Garden di Jalan Batu Kawah.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee dalam kenyataan media pada Selasa berkata, lawatan tapak telah diadakan pada 4 Ogos lalu untuk menyempurnakan penyerahan Permit Menduduki (Occupation Permit, OP) kepada pemaju yang terlibat.
Katanya, projek Taman Millennium yang sepatutnya disiapkan pada tahun 2020, mengalami kelewatan selama lima tahun sebelum akhirnya menerima OP yang dikeluarkan oleh MPP pada 25 Julai 2025.
Sementara itu, projek Taman Greenwoods turut menerima OP pada 21 Julai 2025 yang diberikan secara berperingkat bagi 31 unit rumah satu tingkat jenis teres dan berkembar.
“Beberapa unit telah diserahkan kepada pemilik masing-masing setelah projek itu tertangguh selama lapan tahun.
“Kerja-kerja pembaikan bagi unit yang belum lengkap kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
Bagi projek Fu Yu Garden di Jalan Batu Kawah, OP telah dikeluarkan pada 1 Ogos 2025, menandakan siapnya projek yang tertangguh lebih dua tahun daripada jangkaan asal iaitu pada tahun 2022.
Datuk Michael Tiang menegaskan komitmen kementerian untuk terus membantu menyelesaikan isu projek perumahan bermasalah agar pembeli dapat menikmati kediaman yang selamat, selesa dan terlindung.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), pegawai-pegawai kementerian dan MPP serta pembeli-pembeli rumah yang terlibat secara langsung.-EDISI UKAS