Media Sarawak Kongsi Pengalaman & Cabaran Dalam Bidang Kewartawanan

Disiarkan pada 27 May 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, tiga wartawan mewakili media Sarawak berkongsi serba sedikit pengalaman dan cabaran masing-masing dalam bidang kewartawanan menerusi program bual bicara ‘Selamat Pagi Malaysia’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketiga-tiga wakil media itu adalah Ketua Biro BERNAMA Sarawak Hamdan Ismail, wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Leya Ameera Annuar Rigos, dan wartawan RTM Sarawak Firdaus Arasy Idris yang merupakan media daripada tiga generasi yang berbeza.

Antara perkongsian mereka termasuk berkaitan tekanan dalam mengawal emosi ketika melaporkan berita secara langsung kepada masyarakat, di depan kaca televisyen dalam situasi yang sukar.

Selain itu, mereka juga berkongsi mengenai pengorbanan media sebagai petugas barisan hadapan ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan beralih ke norma baharu.

Turut dikongsikan berhubung cabaran mereka menyesuaikan diri menggunakan peralatan media tradisional ke arah era digital.

Warga media khususnya wartawan memainkan peranan penting dalam menyebarluas maklumat dan informasi yang tepat kepada masyarakat, dalam masa sama menyumbang kepada pembangunan negara. -EDISI UKAS