Kompleks Satria Pertiwi Mercu Tanda Baharu Pentadbiran Sarawak

Disiarkan pada 04 Aug 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Kompleks Pejabat Premier Sarawak yang sebelum ini dikenali dengan julukan ‘White House’ kini secara rasmi dinamakan sebagai Kompleks Satria Pertiwi sekali gus melambangkan satu lagi detik bersejarah dalam landskap pentadbiran Sarawak.

Simbolik lafaz perasmian nama baharu kompleks tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung pada malam Isnin.

"Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan bangunan dan menamakannya sebagai Kompleks Satria Pertiwi,” lafaz Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dalam lafaz perasmian itu.

Turut mengiringi beliau ialah isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Turut hadir dalam majlis bersejarah itu ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri, Ketua-ketua Jabatan serta para kenamaan lain.

Majlis diteruskan dengan penandatanganan plak perasmian diikuti upacara pemotongan riben di halaman utama kompleks sebagai simbolik kepada permulaan rasmi operasi di bangunan berkenaan.

Selesai upacara tersebut, para tetamu kehormat dijemput untuk meninjau ruang dalaman kompleks yang menampilkan reka bentuk moden dan tersergam indah, menggambarkan kemajuan serta kecekapan sistem pentadbiran Sarawak yang semakin dinamik.

Pada kemuncak majlis, Premier Sarawak telah menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sebagai simbol penghormatan atas kesudian merasmikan kompleks berkenaan, sebelum majlis diteruskan dengan jamuan makan malam.

Penamaan Kompleks Satria Pertiwi ini mencerminkan iltizam Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam, di samping menjadi simbol kebanggaan rakyat terhadap pencapaian negeri dalam era pentadbiran moden yang berteraskan integriti, ketelusan dan profesionalisme.-EDISI UKAS