UMAMI 2025 Buka Peluang Usahawan Makanan B40 Di Miri

Disiarkan pada 04 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Program Usahawan Makanan Miri (UMAMI) kembali untuk edisi 2025 dengan membuka peluang kepada individu dari komuniti berpendapatan rendah (B40) dan golongan kurang berkemampuan di Miri untuk menceburi bidang keusahawanan makanan secara profesional.

Sidang media pelancaran program telah diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, Miri pada Isnin dan dirasmikan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.

Turut hadir ialah Pengarah SAGO Group, Arif Abdul Rahman.

UMAMI merupakan inisiatif inkubator keusahawanan makanan anjuran SAGO Group dengan sokongan Yayasan Hong Leong, bertujuan membina laluan keusahawanan untuk individu berbakat dalam bidang kulinari yang kurang berpeluang dari segi latihan, sokongan dan akses pasaran.

Program selama 10 minggu ini merangkumi latihan intensif, bimbingan mentor, bengkel keusahawanan, serta pendedahan praktikal dalam acara dan persekitaran sebenar industri makanan dan minuman (F&B).

Dalam ucapan perasmiannya, Adam Yii menyifatkan UMAMI sebagai platform yang mengangkat warisan budaya melalui keusahawanan makanan.

“Daripada juadah Orang Ulu, ayam pansuh Iban, hinggalah bakeri Cina moden, makanan kita mencerminkan perpaduan dan kepelbagaian yang menjadi identiti Miri,” katanya.

Beliau turut menegaskan keselarasan UMAMI dengan Pelan Pembangunan Greater Miri dan Pelan Bandar Pintar Miri, yang menekankan pembangunan PKS yang mampan, pertumbuhan inklusif dan pemerkasaan industri budaya dan kreatif sebagai pemacu pelancongan.

Menurut beliau, UMAMI mengintegrasikan elemen kelestarian melalui modul pengurusan sisa, penggunaan bahan tempatan dan dapur mesra tenaga; keterangkuman melalui penyertaan ibu tunggal dan individu tanpa pendidikan formal; serta mempromosikan pelancongan budaya melalui kerjasama dengan resort dan festival makanan tempatan.

Arif Abdul Rahman dalam sidang media tersebut turut berkongsi kejayaan UMAMI 2024 yang menyaksikan enam peserta berjaya menamatkan program dengan kadar kelulusan 100 peratus, mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM136,218 dalam tempoh enam bulan.

Mereka juga telah bersama-sama mengendalikan katering bagi majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang dihadiri lebih 3,500 orang, dengan purata pendapatan individu mencecah RM8,000.

“Program ini bukan sekadar latihan, tetapi sebuah perjalanan membina keyakinan dan komuniti,” jelas Arif, sambil menyeru lebih banyak pihak terlibat bagi memperluas impak UMAMI kepada masyarakat.

Justeru, Adam Yii turut menyeru penyertaan daripada pemain industri, pertubuhan masyarakat, hotel, dapur komersial dan agensi kerajaan untuk menyokong pelaksanaan UMAMI 2025 melalui penajaan, perkongsian sumber dan penyediaan peluang pasaran kepada peserta.

Permohonan untuk menyertai UMAMI 2025 kini dibuka sehingga 13 Ogos 2025.

Warga Miri daripada latar belakang B40 atau komuniti kurang berkemampuan yang berminat boleh melayari laman web rasmi sagoinc.my untuk maklumat lanjut dan borang permohonan.-EDISI UKAS