Pesta Makan Tahun Kedayan Perkukuh Warisan, Perpaduan

Disiarkan pada 04 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Pesta Makan Tahun Kedayan bukan sekadar perayaan warisan, malah menjadi pemacu kepada agenda perpaduan, pelestarian budaya serta pembangunan ekonomi komuniti luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata program tersebut sangat signifikan kerana ia menghimpunkan masyarakat Kedayan dari seluruh Borneo untuk bersama-sama meraikan warisan adat dan budaya yang diwarisi turun-temurun.

“Majlis ini diraikan oleh masyarakat Kedayan untuk meraikan syukurnya kita menerima rezeki yang melimpah ruah hasil dari tanaman padi, walaupun sekarang tidak lagi kita bertanam padi tapi dulu ia adalah sumber pendapatan kita.

“Suku kaum Kedayan sama juga dengan suku kaum Bumiputera yang lain, kegiatannya adalah bercucuk tanam dan kita juga menghasilkan kraftangan dari sumber-sumber hutan kita, itulah keadaan hidup kita.

“Jadi Majlis Makan Tahun ini bukan sahaja kita menunjukkan tanda kesyukuran tetapi dalam masa yang sama kita menghargai semangat perpaduan, semangat kerjasama, semangat gotong-royong, yang menjadi asas kekuatan kepada kita.

“Semangat gotong-royong ini, semangat perpaduan dan kerjasama ini jangan kita abaikan, ianya harus dipertahankan dan inilah sebenarnya tonggak kekuatan kita.

“Jadi inilah semangat yang terselit setiap kali kita mengadakan Majlis Makan Tahun ini, untuk mengingatkan kita bagaimana keadaan kita dulu dan bagaimana kita hari ini, dan bagaimana masa depan kita akan datang, kita bersyukur,” katanya semasa merasmikan Pesta Makan Tahun Kedayan 2025 anjuran Persatuan Kedayan Limbang di Dewan Kampung Tuna Gumaya Benuas, di sini, pada Ahad.

Lebih 1,000 pengunjung membanjiri kawasan majlis termasuk tetamu dari Brunei Darussalam, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Lawas.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Sumber Ali dan Pembangunan Bandar Kedua turut menekankan kepentingan mewariskan warisan budaya kepada generasi baharu agar tidak ditelan arus pemodenan yang semakin pantas.

Beliau menambah, kepelbagaian kaum dan agama di Sarawak harus terus diraikan dalam semangat “Unity in Diversity” yang telah lama menjadi asas keharmonian negeri ini.

Menurutnya, perpaduan, kerjasama dan toleransi merupakan tonggak utama kekuatan negeri Sarawak yang terdiri daripada masyarakat pelbagai agama dan budaya.

Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk membangunkan bahagian utara negeri, khususnya Limbang dan Lawas, selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Beliau berkata, pelbagai projek berimpak tinggi sedang dan akan dilaksanakan, antaranya ialah ‘The Northern Coastal Highway’ melalui Brunei yang akan bermula suku ketiga tahun ini (3 pakej di Limbang, 2 di Lawas); Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dari Gelugus ke Long Lopeng di Lawas, yang akan menyambung ke Miri; perancangan Projek Trans Borneo Highway dan pembinaan pelbagai jambatan.

Selain itu, ia termasuk penyambungan bekalan elektrik Limbang dan Lawas ke grid negeri Sarawak tahun ini dan peningkatan bekalan air dan liputan telekomunikasi bagi merancakkan ekonomi tempatan, termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Beliau turut mengumumkan perancangan menjadikan Limbang dan Lawas sebagai pusat pengeluaran kerbau menerusi mandat yang diberikan kepada Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), selain memanfaatkan potensi sektor pelancongan, pertanian, penternakan dan perikanan.

Tambahnya, Kerajaan negeri juga akan memperkukuh kerjasama dengan Brunei Darussalam, termasuk dalam sektor PKS, melalui penubuhan pejabat khas di negara jiran itu.

Pada majlis ini, Datuk Amar Awang Tengah mengumumkan peruntukan berjumlah RM40,000 untuk Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang.

Majlis ini turut dihadiri oleb Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak merangkap ADUN Bekenu Datuk Rosey Yunus, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Penasihat (PKS) MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Pemanca Sahat Bagol.-EDISI UKAS