 
BINTULU: Kelab D'Sha Muayfit Tawau melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak 2024 yang melabuhkan tirai di Naim Street Mall @ Paragon, Bintulu pada Sabtu.
Wakil dari Sabah itu cemerlang sepanjang tiga hari kejohanan dengan meraih 10 pingat emas dan dua perak.
Tempat kedua turut diungguli satu lagi kelab dari Sabah dengan 9 emas dan 3 perak disusuli kelab Muaythai Kenyalang di tempat ketiga dengan 8 emas dan 6 perak.
Manakala, Sting Muaythai Club yang menggondol 7 emas, 11 perak dan 2 gangsa menduduki tempat keempat.
Dalam pada itu, seramai 11 orang individu dari pelbagai kelab menerima anugerah atlet muaythai terbaik.
Mereka ialah Mohd. Izzat Zulfakar (SS Fighter), Mohd. Syafiq Ezuan Mohd. Sofian (Sabah), Ade Mutia (KALBAR), Mohammad Nor Adzizi (Muaythai Kenyalang), Jonnah Barrac (PS Muaythai), Nurizman (Sting Muaythai), Mohd. Hakim (MTK), Genesis (Sabah), Dazrey (Sabah), Eviyangka (Sabah) dan Muhd. Rafael Rayyan (Panthera Fight Team).
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim.
Sementara itu, lapan lagi aksi membabitkan kategori Semi Profesional dan Profesional berlangsung dan menyaksikan penguasaan hebat atlet muaythai pilihan.
Dua perlawanan tumpuan kategori berat badan berbeza yang menyediakan piala dan pingat untuk pemenang menyaksikan A'mmarul (Bara Emas Muaythai Gym Malaysia) berjaya memenangi kategori Profight (71kg) selepas menumpaskan lawannya, Majid Kambiz (Iran).
Sambil itu, Umar Redwolves (Redwolves Malaysia) pula mengungguli kategori Profight (63kg) selepas menumpaskan Ali Yaacob (Attitude Fight Team).
Keputusan pertarungan lain menyaksikan Nur Rania Rayhnna (Panthera Fight Team Johor) berjaya menumpaskan Claudia Alvensia (KALBAR Indonesia) kategori Semi Profesional (42-44 kg), Ritzi dari Filipina muncul pemenang kategori Semi Profesional (42-44kg) selepas menumpaskan Marcela Gosikir (Muaythai Sabah).
Nur Iskandar Daud (Muaythai Sabah) pula muncul pemenang kategori Semi Profesional (57-60kg) yang berjaya menumpaskan Muhamad Nurizman Abdullah (Sting Muaythai Club).
Diikuti kemenangan yang dicipta Emonika (KALBAR Indonesia) ke atas Intan Nirmala Mosidi (Muaythai Kenyalang) dalam kategori Semi Profesional (44-47kg), Kimi (Sting Muaythai Club) pula berjaya meraih kemenangan ke atas Tuan Weira (Thaivsix Terengganu) katagori Muay Sports A (37 kg) dan Monji Kambiz (Sudan) berjaya menumpaskan Mihd. Izzat Zulfakar Hazrid (SS Fighters Malaysia) kategori Superfight Profesional (62kg).
Kejohanan anjuran PMNS itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Kementerian Belia dan Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).
Kejohanan berlangsung dari 23 hingga 26 Mei itu menyaksikan penyertaan lebih 200 peserta termasuk dari tujuh negara luar iaitu Brunei, Kalimantan Indonesia, Filipina, Thailand, Iran, Sudan dan Morroco.
Terdahulu pada 24 Mei, diadakan Program Mari Mencuba Sukan Muaythai di SK Bintulu yang melibatkan seramai 500 orang pelajar.
Selain itu, turut dianjurkan pertandingan PUBG Mobile dari 24 - 26 Mei di venue sama yang menawarkan hadiah keseluruhan RM4,000.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri MYSED Datuk Dr Ripin Lamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak
Iskandar Turkee, ADUN Tanjong Batu Johnny Phang Leong Ming, Setiausaha Tetap MYSED Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif SSC Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Wakil Setiausaha Tetap MTCP Nasir Lariwoo. – EDISI UKAS