Wakil Rakyat Serah Dua Projek Siap kepada Penduduk Rumah Panjang Engkalat

Disiarkan pada 03 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Penduduk Rumah Panjang Engkalat, Spak, Betong menerima dua projek pembangunan kerajaan yang telah siap sepenuhnya hasil inisiatif berterusan pihak kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Penyerahan rasmi kedua-dua projek berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu dalam satu majlis yang berlangsung di Rumah Panjang Engkalat pada Jumaat.

Projek pertama yang diserahkan merupakan kerja-kerja naik taraf jalan konkrit di kawasan rumah panjang tersebut yang dilaksanakan di bawah inisiatif Rural Transformation Projects (RTP) oleh Majlis Daerah Betong (MDB) dengan kos sebanyak RM200,000 dimana projek ini dibiayai melalui peruntukan RTP ADUN N.36 Layar.

Manakala projek kedua adalah pembinaan tangga baharu jenis belian di bawah program Projek Mesra Rakyat (PMR) oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) Zon Sri Aman, melibatkan kos RM50,000, hasil peruntukan daripada Ahli Parlimen Betong.

Dato Gerald dalam ucapannya berkata, pelaksanaan projek-projek ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur asas yang lebih baik untuk penduduk pedalaman.

“Projek ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan kemudahan asas penduduk luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman, dapat dinaik taraf bagi meningkatkan kualiti hidup mereka,” ujar beliau.

Sementara itu, Tuai Rumah Jiram Entegar merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas perhatian dan bantuan yang disalurkan.

“Sudah pasti dengan siapnya projek ini, ia membawa manfaat langsung kepada komuniti kami di sini,” katanya.

Selepas majlis penyerahan, Dato Gerald turut mengambil kesempatan untuk menyantuni penduduk serta mengadakan sesi perbincangan mengenai isu-isu setempat yang memerlukan perhatian lanjut.

Majlis penyerahan disaksikan oleh beberapa wakil agensi pelaksana termasuk Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr Moris Nayup dan Timbalan Pengerusi MDB, Kaunselor Horace Entoi.

Turut hadir Penolong Jurutera SDO Zon Sri Aman, Kumpang Brandah, Pemanca Norman Ngumbang serta Penghulu Kawasan Spak, Penghulu Libau Renggian.-EDISI UKAS