Agihan Milo Sempena Hari Bapa: ADUN Bukit Assek Hargai Pengorbanan Kaum Bapa

Disiarkan pada 03 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Sebagai tanda penghargaan kepada para bapa, Pusat Khidmat Bukit Assek dengan kerjasama 15 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan DUN Bukit Assek menganjurkan program agihan Milo percuma sempena sambutan Hari Bapa bermula 2 Ogos hingga 17 Ogos 2025.

Program yang berlangsung di Pusat Khidmat Bukit Assek pada Sabtu itu menyaksikan kehadiran seramai 825 orang pada hari pertama, termasuk tetamu kehormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek, Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek Dato Chieng Buong Toon dan Kapitan Wong Lu Ping.

Menurut Joseph Chieng, seramai 2,500 penerima disasarkan untuk menerima sumbangan pek Milo seberat 900 gram sepanjang tempoh program berlangsung, meningkat berbanding 2,000 pek tahun lalu.

“Kalau tahun lepas kita beri 1kg, tahun ini kita beri 900g, tetapi harganya masih sama. Kami baru sedar ia telah dipakejkan semula, tetapi masih bernilai tinggi,” jelas beliau.

Dalam tempoh sejam pertama sahaja, sebanyak 250 pek telah diagihkan kepada penerima, membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti setempat.

Beliau turut menjelaskan bahawa permintaan turut diterima daripada golongan wanita untuk mendapatkan sumbangan Milo, namun memaklumkan bahawa wanita telah menerima sumbangan sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu berupa minyak masak 2kg.

Beliau menekankan pentingnya kerjasama rapat antara Pusat Khidmat dan JKKK dalam menjayakan program seumpama ini, terutamanya dalam menyebarkan maklumat kepada penduduk tempatan.

“Sebagai wakil rakyat, adalah penting untuk sentiasa turun padang, mendengar dan berinteraksi dengan rakyat. Saya lihat ramai wajah baharu tahun ini berbanding tahun lalu. Ini satu petanda baik bahawa kita sedang membina hubungan yang semakin kukuh dengan komuniti,” ujarnya.

Joseph Chieng turut menyentuh mengenai perkembangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal membawa limpahan pembangunan ke kawasan Sibu, termasuk pembinaan laluan penghubung baharu.

“RMK13 sangat penting bagi Sibu kerana ia akan membuka lebih banyak laluan penghubung baharu, termasuk untuk penduduk kawasan 100 Warganegara Negeri,” katanya lagi.

Program agihan Milo ini akan diteruskan setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari sehingga 17 Ogos 2025, dan orang ramai yang masih belum menerima pek Milo digalakkan hadir untuk turut serta dalam sambutan ini.-EDISI UKAS