Nuklear Dipertimbang Sebagai Sumber Tenaga Masa Depan

Disiarkan pada 03 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan kini sedang meneliti secara menyeluruh kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga jangka panjang bagi menjamin keterjaminan bekalan tenaga negara yang bersih dan mampan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato Sri Fadilah Yusof berkata, keputusan dasar telah dibuat untuk mempertimbangkan tenaga nuklear namun pelaksanaannya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun, bergantung kepada pelbagai faktor teknikal, keselamatan dan penerimaan awam.

“Kita telah melantik MyPower sebagai Nuclear Programme Office (NPO) bagi menjalankan kajian komprehensif merangkumi aspek teknologi, keupayaan sumber manusia, keselamatan, kesan alam sekitar dan kebolehan membiayai projek ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan MUSCS Pickleball Arena Petra Jaya, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, sebarang pelaksanaan juga perlu mematuhi 18 perjanjian antarabangsa berkaitan tenaga nuklear, selain memerlukan libat urus menyeluruh bersama rakyat dan negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Vietnam yang turut sedang mempertimbangkan tenaga nuklear.

Ketika ini katanya, Semenanjung Malaysia masih bergantung kepada sumber tenaga berasaskan bahan api fosil seperti arang batu, gas, diesel dan hidro, manakala Sarawak sudah mencapai lebih 70 peratus penjanaan tenaga menerusi hidroelektrik.

Bagaimanapun, beliau mengakui sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, biogas, biofuel dan biomass masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga negara secara menyeluruh.

“Sebab itu, untuk jangka masa panjang, nuklear menjadi satu pilihan yang sedang dikaji demi menjamin tenaga yang mampan, mampu milik dan bersih,” katanya lagi.

Antara aspek utama yang diteliti termasuk lokasi pembinaan loji nuklear yang perlu berdekatan sumber air seperti sungai, laut atau tasik bagi menyokong sistem penyejukan.

Selain itu, Malaysia juga sedang menilai teknologi Small Modular Reactor (SMR) yang lebih fleksibel dan sesuai untuk kawasan tertentu.

Dalam usaha mendapatkan gambaran menyeluruh, pihak kementerian telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara termasuk Rusia, Perancis dan Korea Selatan, dan merancang untuk meneruskan lawatan ke Jepun, China dan Amerika Syarikat bagi meneliti teknologi terbaik yang sesuai dari segi keselamatan dan keberkesanan kos.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Penaung Kelab Sukan Rekreasi MUSCS, Datuk Abdullah Saidol, Presiden Kelab Sukan Rekreasi MUSCS, Datuk Dzulkarnaen Ahmad dan tetamu yang lain.-EDISI UKAS