KUCHING: Kuching City FC (KCFC) meneruskan jalinan kerjasama bersama Lea Sport Centre dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun sebagai penaja rasmi dan kelengkapan pasukan.
Majlis menandatangani MoU ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC Iswandi Ali Hassan dan Pengarah Urusan LSC Raymond Sim dalam satu majlis ringkas pada Ahad.
Hadir sama menyaksikan MoU tersebut, Pengerusi KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Ketika ditemui media, Dato Fazzrudin memberitahu, LSC akan terus jadi pembekal rasmi jersi dan pakaian pasukan KCFC untuk semua kejohanan dan acara rasmi sekali gus meneruskan kerjasama kukuh yang terjalin sejak 2017.
"Sejak ditubuhkan KCFC 10 tahun lalu yang dikenali sebagai Kuching FA, kita merupakan satu pasukan baharu dan kita memerlukan sokongan kukuh dan salah satunya adalah LSC.
Justeru saya merakamkan penghargaan kepada LSC kerana telah bersama kami sejak hari pertama lagi bergerak lebih kuat setiap tahun dan membantu kami dalam banyak cara yang kami tidak bayangkan," katanya.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak menjelaskan, MoU ini akan melanjutkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak untuk lima tahun yang akan datang sehingga 2030.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, seramai 29 pemain telah berjaya didaftarkan bagi mengharungi saingan tahun ini.
Tambahnya, pihak pengurusan KCFC akan melihat kepada penambahan pemain pada pertengahan musim kelak setelah jendela perpindahan dibuka sekiranya penambahan pemain diperlukan. -EDISI UKAS