KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Shin kagum dengan sebuah syarikat permotoran tempatan yang tampil sebagai peneraju dalam memacu kemajuan industri automotif negeri ini dengan memperluas perkhidmatan 4S menerusi konsep One-Stop Centre di Sarawak.
Menurut beliau, ini secara langsung memberi kemudahan kepada pengguna serta menyokong pertumbuhan industri permotoran tempatan.
Terdahulu beliau telah hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran model terbaharu All-New Proton X50 di sebuah syarikat permotoran tempatan pada Sabtu.
Langkah strategik ini bukan sahaja memberi kemudahan menyeluruh kepada pengguna di negeri ini, malah memperkukuh ekosistem perkhidmatan selepas jualan yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi setempat.
Perkhidmatan 4S yang ditawarkan bukan sekadar memenuhi keperluan pengguna, tetapi turut menjadi platform memperkenalkan teknologi baharu dalam bidang permotoran selaras dengan perkembangan global.
Antara inisiatif terbaharu yang diperkenalkan ialah penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem kenderaan, khususnya untuk meningkatkan kecekapan kawalan dan keselamatan pemanduan.
Teknologi ini dijangka dapat mengurangkan kadar kemalangan dan menyumbang kepada sistem pengangkutan yang lebih pintar dan selamat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil-wakil pengurusan kanan syarikat permotoran tempatan, pelanggan setia, serta rakan industri yang hadir menyaksikan pelancaran model ikonik tersebut.-EDISI UKAS