Masyarakat Kedayan Perlu Beralih Daripada Sara Diri kepada Ekonomi Berpendapatan

Disiarkan pada 03 Aug 2025
Sumber Berita: ukas


LIMBANG: Masyarakat Kedayan perlu mengubah pendekatan daripada sekadar bertani untuk keperluan sara diri kepada menjadikan kegiatan pertanian sebagai sumber ekonomi berpendapatan tetap, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pertengahan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, secara tradisinya masyarakat Kedayan terkenal sebagai petani, namun sudah tiba masanya perubahan dibuat agar pertanian dapat menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi keluarga.

“Masyarakat kita memang terkenal dengan kegiatan berkebun sejak dahulu, tetapi amalan itu lebih kepada untuk kegunaan sendiri.

“Perubahan perlu berlaku, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pertengahan, agar mereka tidak hanya bergantung kepada kaedah lama tetapi menjadikan bidang ini sebagai sumber ekonomi berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Malam Ba’iuh Sempena Pesta Makan Tahun Kedayan 2025, di Dewan Kampung Tuna Gumaya pada Jumaat.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan ibu bapa amat penting dalam membimbing anak-anak ke arah masa depan yang lebih baik.

Katanya, pelbagai kemudahan pendidikan telah disediakan oleh kerajaan bermula dari peringkat prasekolah seperti Tabika, sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah ke institusi pengajian tinggi.

Dr. Ripin turut menyeru kepada para pelajar yang berada di Tingkatan 4 dan 5 untuk merebut peluang inisiatif pendidikan percuma yang diumumkan oleh Premier Sarawak baru-baru ini.

Tambah beliau, inisiatif pendidikan percuma ini adalah antara pelbagai bantuan dan sokongan yang telah disediakan oleh Kerajaan Sarawak, selain Bantuan Kewangan Khas (BKK) dan bantuan universiti yang lain, demi meringankan kos sara hidup pelajar sama ada di bandar mahupun luar bandar.

“Inilah sektor-sektor penting yang perlu kita galakkan anak-anak kita untuk ceburi. Ia bermula dari minat di sekolah menengah, Tingkatan 6 dan seterusnya di universiti.

“Ambillah peluang ini untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa dan pada masa sama melahirkan tenaga kerja mahir,” ujarnya.-EDISI UKAS