DBKU Mayor’s Run Meriah, Kukuh Semangat Komuniti & Kebajikan

Disiarkan pada 03 Aug 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Program DBKU Mayor’s Run 2025 berlangsung meriah di Padang Merdeka hari ini, menghimpunkan ratusan peserta dalam semangat kesukanan sambil memperkukuh komitmen terhadap usaha kebajikan masyarakat.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam), merangkap Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah dan DBKU, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Lebih daripada sekadar acara larian, penganjuran edisi kali ini turut diserikan dengan penyerahan sumbangan kepada badan kebajikan, sebagai lambang solidariti sosial dan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.

Antara detik istimewa ialah penyampaian sumbangan berjumlah RM20,000 oleh SABATI kepada Ronald McDonald House Charities (RMHC) disampaikan kepada Pengurus Besar RMHC, Mohd Nasri Mohd Nordin.

Sumbangan tersebut merupakan kesinambungan usaha kebajikan yang pernah digerakkan oleh Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Bujang, semasa hayat beliau sebagai Presiden SABATI.

RMHC turut menerima sumbangan tambahan masing-masing berjumlah RM5,000 daripada Inter-Continental Travel Center Sdn. Bhd. dan Ceylonese Restaurant, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan kepada organisasi berkenaan mencecah RM30,000.

Acara turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang larian, yang telah mempamerkan ketahanan fizikal serta semangat kesukanan tinggi.

Penganjuran DBKU Mayor’s Run terus menjadi platform bermakna dalam merapatkan hubungan antara masyarakat bandar raya, sambil menyemai nilai gaya hidup sihat dan kepedulian sosial yang berterusan.-EDISI UKAS