KUCHING: Seramai 17 wartawan daripada sembilan organisasi media tempatan tampil sebagai pelumba maya dalam kejohanan sulung Initial M: Media SIM Racing Grand Prix yang dilakukan di Metadise, di sini pada Sabtu.
Kejohanan anjuran Metadise Electronic Sports Club (MESC) dengan kerjasama Hazel Communication & Solutions Sdn Bhd (HazelComms) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) merupakan satu inisiatif baharu yang menggabungkan media, teknologi, dan potensi korporat dalam arena e-sukan yang sedang berkembang di Sarawak.
Pusingan kelayakan di Metadise Sim Racing, Kuching menyaksikan peserta bersaing menggunakan simulator profesional untuk merebut tujuh tempat ke pusingan akhir pada 30 Ogos 2025 di litar maya Sepang.
Tujuh organisasi yang layak ke pusingan Akhir Grand Prix adalah daripada Suara Sarawak, Sarawak Tribune, Dayak Daily, Borneo Post, KDJA, Bernama dan RTM.
Presiden MESC, Afiq Fadhli Narawi berkata, acara ini menandakan peralihan dinamik daripada penceritaan tradisional kepada perlumbaan maya yang mengujakan, sekali gus menunjukkan potensi besar dalam pemasaran, penjenamaan dan penglibatan khalayak.
“Apa yang kita lihat melalui Initial M Sim Racing Grand Prix ini ialah media mendahului dalam perlumbaan baharu yang menggabungkan inovasi digital dengan impak penonton sebenar.
“Inisiatif ini bukan sahaja mempamerkan kuasa penglibatan secara imersif, tetapi juga membuka peluang kepada jenama korporat untuk memanfaatkan perlumbaan simulasi sebagai platform interaktif yang berani. Media telah memulakan momentum ini, kini masanya untuk korporat turut sama memacu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, Pertandingan perintis ini memposisikan perlumbaan e-sim sebagai platform strategik yang menghubungkan profesional media, membuka kemungkinan kandungan baharu, dan menggalakkan kerjasama inovatif dalam industri.
Sementara itu, Pengarah Urusan HazelComms, Hazel Jasni memberitahu acara ini mengubah norma, wartawan bukan lagi sekadar melaporkan berita, tetapi kini menjadi sebahagian daripadanya.
Jelasnya, ia adalah sempadan baharu di mana media dan sukan permotoran bergabung secara langsung. Ia menunjukkan model progresif kerjasama jenama dan media dalam landskap e-sukan yang semakin berkembang,
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Ronnie Teo memuji penganjuran kerana memberi peluang kepada media di Kuching untuk merasai pengalaman perlumbaan simulasi secara langsung melalui kejohanan sulung ini.
“Lazimnya kami hanya memerhati dan melapor dari luar, jadi peluang untuk benar-benar menyertai dan mendalami dunia perlumbaan simulasi ini memberikan kami penghargaan lebih mendalam dan pemahaman yang lebih baik tentang potensinya. Kami berharap lebih banyak program sebegini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi memperluas wawasan media,” ujarnya.
Pusingan Akhir pada 30 Ogos nanti dijangka menjadi kemuncak penuh aksi dengan penganugerahan, pengiktirafan eksklusif dan peluang kerjasama jenama, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab inovasi digital yang semakin menonjol. -EDISI UKAS