KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berperanan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi dalam memastikan segala dasar dan agenda pembangunan sampai kepada masyarakat dengan berkesan.
Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, KMKK bukan sahaja berfungsi sebagai pemimpin komuniti, malah turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan kepada rakyat serta membawa suara masyarakat ke peringkat pentadbiran.
“Melalui Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kuching Tahun 2025 ini bukan sahaja menambah ilmu dan kemahiran, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak pentadbiran dan pemimpin komuniti.
“Saya berharap KMKK akan terus menjadi agen penyampaian dasar dan pembangunan dengan penuh integriti dan dedikasi,” katanya demikian dalam majlis penangguhan seminar tersebut di Pustaka Negeri Sarawak pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menambah, seminar ini dijangka akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang sebagai salah satu platform utama dalam memperkasakan institusi kepimpinan komuniti ke arah pembinaan masyarakat yang harmoni dan maju.
Seminar anjuran Pejabat Daerah Kuching ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kepimpinan KMKK dalam mengurus hal ehwal masyarakat setempat agar selari dengan dasar pembangunan negeri. Program ini dijangka diteruskan pada tahun mendatang sebagai platform memperkasakan kepimpinan komuniti ke arah masyarakat harmoni dan maju. -EDISI UKAS