TEBEDU: Sebanyak 15 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Amo telah menerima watikah pelantikan masing-masing dalam satu majlis yang berlangsung penuh semangat kebersamaan menerusi Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, anjuran JKKK Kampung Pengkalan Amo di Tebedu, pada Sabtu.
Majlis yang dihadiri lebih 300 orang penduduk itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, dengan kehadiran pelbagai pemimpin komuniti dan agensi termasuk Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar, Pengerusi Majlis Daerah Serian, Dato Peter Minos, serta wakil Residen Serian, Mohamad Nazreen Mayaddin.
Dalam ucapannya, Dr. Simon menegaskan bahawa peranan, komitmen dan tanggungjawab ahli JKKK sangat penting dalam menjayakan pentadbiran kampung dan memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan serta berkesan.
“Sokongan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk penduduk dan NGO adalah asas penting dalam menjayakan setiap projek pembangunan di peringkat kampung,” tegas beliau.
Selain itu, beliau turut menyeru penduduk kampung agar terus menyokong kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg demi menjamin kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan menjelang aspirasi Sarawak sebagai Wilayah Maju tahun 2030.
Majlis penyerahan Sijil Watikah Pelantikan kepada Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Ketua-Ketua Biro JKKK sesi 2025–2028 menjadi tumpuan utama acara, sebagai simbol komitmen baharu dalam memperkukuh sistem pentadbiran kampung.
Sebagai tanda sokongan kepada aktiviti belia, Dr. Simon turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM5,000 melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi penubuhan Unit SABERKAS di kampung tersebut.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Temenggong Henry Bujang Senden, Pemanca Kane Manung, Penghulu Gaup Takip, Penghulu Donny Achan, serta barisan penghulu dari kawasan sekitar termasuk Penghulu Batang Ruben, Penghulu Rapeng Garak, Penghulu Sg. Tuna, Penghulu Sheling dan Penghulu Fong Soon Fah dari Kawasan Cina.
Majlis yang berlangsung dari jam 6.00 petang hingga 11.00 malam itu disifatkan sebagai bukti solidariti dan komitmen penduduk serta pemimpin akar umbi dalam menjayakan pembangunan komuniti secara kolektif.-EDISI UKAS