KUCHING: Lebih 500 penduduk tempatan membanjiri Masjid Demak Baru, Jalan Bako pada malam Sabtu bagi menghadiri Ceramah Perdana Bandarayaku, sebuah program sempena Pesta Kuching 2025 yang memberi penekanan terhadap mesej perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum.
Program anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu menampilkan penceramah terkenal tanah air, Al-Fadhil Ustaz Dato’ Mohd Kazim Elias, dengan ceramah bertemakan “Piagam Madinah: Simbol Perpaduan Masyarakat Majmuk” yang disampaikan secara penuh rohani dan reflektif kepada para hadirin.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, serta isteri Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.
Hadir sama ialah Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman.
Penganjuran ini merupakan antara inisiatif DBKU untuk mengukuhkan nilai-nilai murni seperti harmoni, toleransi dan kesefahaman dalam kalangan warga bandaraya Kuching, selaras dengan semangat “Bandaraya Untuk Semua” yang menjadi tunjang dasar pembangunan sosial DBKU.
Program bermula seawal jam 6.30 petang dan disokong oleh pelbagai agensi termasuk Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Baitulmal Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak serta rakan strategik lain.
Ia juga menyumbang ke arah pembangunan lestari menerusi fokus kepada kesejahteraan komuniti, pengukuhan jaringan antara agensi, dan pembangunan sosial yang inklusif.
Ceramah yang menyentuh prinsip keadilan, kebersamaan dan kepimpinan melalui nilai Islam sejagat turut membuka ruang kepada warga Kuching untuk memahami bagaimana nilai-nilai ini dapat diaplikasikan dalam konteks masyarakat moden hari ini, khususnya dalam mendepani cabaran sosial dan perpaduan.-EDISI UKAS