Program Hari Bersama Pelanggan, Sampaikan Perkhidmatan Terus Kepada Rakyat Luar Bandar

Disiarkan pada 03 Aug 2025
Sumber Berita: ukas


LUNDU: Komitmen berterusan kerajaan Sarawak untuk menyampaikan perkhidmatan dan maklumat secara langsung kepada rakyat luar bandar sekali lagi dizahirkan menerusi penganjuran Program Hari Bersama Pelanggan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Dewan Serbaguna Kampung Biawak pada Sabtu.

Lebih 800 penduduk Kampung Biawak membanjiri program tersebut, yang menyediakan pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan serta platform libat urus antara masyarakat dan pihak berkuasa secara terus.

Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie bin Awang Redzuan dalam ucapannya menegaskan bahawa inisiatif seperti ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat, tanpa mengira lokasi geografi, mendapat akses kepada maklumat sahih dan perkhidmatan berkualiti.

“Kampung Biawak yang mempunyai 890 penduduk dan 214 buah rumah ini merupakan sebahagian daripada komuniti luar bandar yang menjadi fokus kami dalam memperluas capaian dasar pembangunan negeri,” ujarnya.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha mewakili ADUN Opar, Billy Sujang.

Dalam ucapannya, beliau menyambut baik pendekatan UKAS yang membawa agensi kerajaan terus ke tengah masyarakat luar bandar.
“Program sebegini memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar kerajaan dan membuka ruang untuk mereka menyuarakan pandangan serta keperluan secara langsung,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan strategik UKAS dalam menyalurkan maklumat yang sahih dan berautoriti, khususnya dalam era digital yang sarat dengan penyebaran berita palsu.

Sebanyak 13 agensi kerajaan turut serta dalam program ini termasuk Jabatan Pertanian Sarawak, Majlis Daerah Lundu, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, PERKESO, KWSP, i-CATS serta UKAS sendiri.

Program ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz interaktif serta sesi libat urus yang memberi peluang kepada penduduk mengemukakan pertanyaan dan cadangan secara langsung.

Awang Putrayusrie menggesa masyarakat luar bandar agar terus memanfaatkan platform sebegini sebagai saluran maklum balas dan interaksi bersama agensi kerajaan.

“UKAS akan terus mendekati rakyat demi memastikan setiap dasar dan aspirasi kerajaan Sarawak difahami serta dirasai kesannya oleh semua lapisan masyarakat, tanpa terkecuali mereka di kawasan pedalaman,” katanya.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangkauan luar UKAS untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, sejajar dengan wawasan pembangunan inklusif Sarawak.-EDISI UKAS