Meraikan Juara, Eratkan Ukhwah

Disiarkan pada 03 Aug 2025
Sumber Berita: ukas


KOTA SAMARAHAN: Rumah Rehat Kerajaan Pejabat Daerah Samarahan diselubungi suasana meriah dan santai apabila Program Santai Bersama Kelab Bola Sepak KMKK Daerah Samarahan diadakan malam tadi bagi meraikan kejayaan pasukan itu menjuarai Piala Sumbangsih SABERKAS DUN Muara Tuang.

Selain menjadi wadah penghargaan kepada pemain dan jawatankuasa penganjur, majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti memanggang ayam, daging, ikan dan kambing yang membangkitkan selera dan mengukuhkan lagi suasana kekeluargaan dalam kalangan hadirin.

Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak dalam ucapannya berkata program ini bukan sekadar meraikan kejayaan malah menjadi medan untuk mengeratkan hubungan antara KMKK, Pejabat Daerah, dan rakan strategik seperti Pusat Marqas DUN Muara Tuang yang diketuai Kr Aziz Mohamad, juga Ahli Majlis MPKS.

“Hubungan erat ini penting bagi memastikan urusan pentadbiran dan pengurusan di peringkat akar umbi berjalan lancar,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar ahli KMKK baharu dan lama terus berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mentadbir kampung masing-masing.

Majlis yang berlangsung santai itu turut diserikan dengan aktiviti karaoke, perbualan mesra dan semangat muafakat yang jelas terpancar sepanjang malam.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Hayati Sahari, Ketua Marqas Operasi DUN Muara Tuang, Aziz Mohamad, Pengerusi Kelab KMKK Daerah Samarahan, Seraai Sajili serta Pengerusi Kelab KMKK DUN Muara Tuang, Elen Mustapha.-EDISI UKAS