Muzik Tempatan Pemangkin Nilai, Ilmu & Ekonomi Komuniti

Disiarkan pada 03 Aug 2025
Sumber Berita: ukas


SIMUNJAN: Setiap penganjuran program komuniti harus dibina atas asas ilmu, kemahiran dan nilai murni agar mampu memberikan impak positif kepada pembangunan masyarakat serta merangsang ekonomi setempat.

Penegasan itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee ketika merasmikan Konsert Muzik Sarawak anjuran Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS) yang berlangsung meriah di Padang Sentral Simunjan, pada Sabtu.

Hadir sama menyerikan program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, serta isteri beliau Napsiah Abang Kaderi.

Menurut Rodiyah, kejayaan sesebuah program bukan datang dengan mudah, sebaliknya menuntut perancangan rapi, komitmen tinggi dan kerja berpasukan yang teliti dari peringkat awal sehingga tamat.

“Namun, proses ini penting sebagai medan pembelajaran buat generasi muda dan masyarakat secara umum.
Apa yang paling utama ialah setiap penganjuran mestilah menyemai nilai-nilai positif kepada semua pihak yang terlibat, termasuk artis, pemuzik, krew produksi dan juga para penonton,” katanya.

Rodiyah turut melahirkan rasa bangga kerana konsert tersebut menjadikan muzik tempatan Sarawak sebagai tunjang persembahan, sekali gus memperkukuh jati diri budaya negeri.

“Lagu-lagu berbahasa dialek tempatan dan rentak tradisional yang disesuaikan secara moden, inilah identiti muzik kita yang harus terus diketengahkan.”

Menurut beliau, program seperti ini membuka ruang kepada pencipta lagu, penulis lirik, artis muda dari Simunjan dan luar daerah, di samping menjadi platform generasi baharu untuk mengenali serta menghargai warisan muzik Sarawak.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada PERKAJAS atas kejayaan memperoleh Geran Sokongan Sektor Pelancongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

“Ini membuktikan bahawa usaha komuniti anak jati Simunjan telah menepati piawaian nasional dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” tegasnya.

Rodiyah turut menyeru agar lebih banyak NGO dan agensi tempatan mengambil peluang memohon pelbagai geran tahunan yang disediakan oleh kementerian dan jabatan kerajaan.

“Geran-geran ini bukan sahaja membantu menjayakan aktiviti, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan budaya secara berterusan di kawasan kita,” tambah beliau.

Antara yang turut hadir memeriahkan program ialah Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad; Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak serta Pengerusi PERKAJAS, Abdul Lattif Poli.-EDISI UKAS