KUCHING: Inisiatif Inns Of Court Malaysia (ICM) yang berteraskan model di negara Britain dan Amerika Syarikat tetapi dengan sentuhan Malaysia mampu menjadi pemangkin kepada transformasi bidang undang-undang negara.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ICM mendedahkan dan menggerakkan para profesional dari seluruh spektrum perundangan, terutamanya bagi pelajar dalam memupuk kemahiran profesional perundangan bertaraf tinggi
"Tidak lama lagi, dengan ICM di barisan hadapan, kita akan melihat 'barristers' Malaysia yang dilahirkan di tanah air, walaupun bukan 'King’s Counsel', dilatih untuk menjadi pakar dan berwibawa dalam undang-undang, baik dari segi prosedur mahupun substantif
"Ini juga membolehkan mereka memiliki keyakinan, keanggunan dan kemahiran sosial yang halus untuk berkembang maju dalam apa jua persekitaran dan akhirnya lebih ramai individu cemerlang Malaysia akan diiktiraf sebagai 'Benchers'," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam ICM bersempena Istiadat Penganugerahan 'Bencher' sulung Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut hadir pada Sabtu.
Tambahnya, usaha ini akan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia dalam membangunkan jurisprudens sendiri yang relevan dengan keadaan tempatan.
Selain itu, Dato Sri Fadillah turut menegaskan tiada keperluan untuk pematuhan membuta tuli kepada duluan asing yang boleh menjejaskan keadilan serta memberi kesan buruk kepada pihak berperbicaraan.
"Kita juga memiliki dinamika ekonomi, struktur sosial dan cabaran tempatan yang tersendiri yang memerlukan penyelesaian bersifat tempatan.
"Biarlah jurisprudens Malaysia berkembang dengan yakin, berakar umbi pada identiti unik kita, agar suatu hari nanti ia akan menjadi rujukan yang dihormati di seluruh Komanwel," ujarnya.
Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Penasihat ICM Tun Dato Seri Zaki Tun Azmi, Presiden ICM Tun Ariffin Zakaria, Ketua Hakim Negara Dato Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Yang Dipertua Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Duta Besar Amerika Syarikat Ke Malaysia Edgard D. Kagan, Presiden Makhamah Rayuan Dato Abu Bakar Jais, Ketua Hakim Malaya Tan Sri Hasnah Dato Mohammad Hashim, Ketua Hakim Sarawak Dan Sabah Datuk Azizah Nawawi serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS