BELAGA: Pesta Ladong Bi’o mempunyai signifikan yang sangat besar kepada masyarakat khususnya kepada kaum Kenyah di kawasan Sungai Asap.
Ahli Dewan Negara Senator Michael Mujah Lihan, pesta ini menjadi satu jambatan kepada masyarakat untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim, berpeluang untuk mengenali, berinteraksi, berkomunikasi sesama saudara mara dan sahabat handai.
"Ini dapat kita lihat pada pesta yang diadakan di Long Tebila ini, di mana semua kaum Kenyah dari kawasan Belaga dan Tubau dapat berkumpul bersama-sama di sini.
"Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita berpegang teguh kepada nilai perpaduan yang kuat sesama kita.
"Justeru itu menjadi tanggungjawab para pemimpin dan rakyat untuk memelihara dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan ini agar keharmonian antara kita sentiasa kekal mesra dan utuh selamanya."
Beliau berkata demikian Majlis Penangguhan ‘Ladong Bi’o Lapa Ajau 2024 Uma Bakong, Long Tebila, Tubau pada Sabtu.
Tambahnya, semangat perpaduan dan keharmonian ini harus disemarakkan lagi antara masyarakat pelbagai kaum.
Pada masa sama katanya, pesta ini juga dapat mempromosikan seni warisan Orang Ulu, khususnya kaum Kenyah supaya ianya lebih dikenali dan diminati, sama ada di dalam negeri atau di luar negara.
"Kita merasa bangga sebagai etnik Orang Ulu kerana terdiri daripada pelbagai etnik yang mempunyai pesta yang tersendiri dengan perbezaan cara sambutan dan kebudayaan yang sudah pasti memberi nilai tambah kepada kita.
"Ia mampu menarik perhatian dan minat masyarakat lain untuk mengenali dan mengetahui kebudayaan kita dengan lebih mendalam lagi," katanya lagi.
Diakhir ucapannya, Senator Michael bersetuju untuk mengagihkan peruntukan berjuma RM5,000 kepada PKKS, Cawangan Sg. Asap dan RM5,000 kepada Uma Bakong, Long Tebila, Tubau.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon merasmikan program pada sebelah pagi. - EDISI UKAS