KUALA LUMPUR: Sarawak mencatat kejayaan membanggakan di peringkat nasional apabila diumumkan sebagai Johan Anugerah Pavilion Citra Negeri dan Ikon Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2025 sempena Mega Karnival 3 Dimensi 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Perasmian Mega Karnival 3 Dimensi pada Sabtu.
Bagi Anugerah Pavilion Citra Negeri, Sarawak dinobatkan sebagai johan dan menerima hadiah berupa wang tunai RM10,000 berserta sijil.
Penyampaian hadiah telah dilakukan secara simbolik kepada Connie Christopher Kesa, mewakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).
Penyertaan Sarawak ke karnival tersebut diketuai oleh MINTRED dengan kerjasama strategik daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) dan CRAUN Research Sdn Bhd.
Sementara itu, bagi kategori Ikon SDSI 2025, usahawan Sarawak, Fitriah Rahbi daripada RFM Global Corporation, diumumkan sebagai pemenang.
Syarikat beliau terkenal dengan inovasi produk berasaskan Terung Asam, tanaman unik yang hanya terdapat di Sarawak.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.
Sebanyak 11 syarikat usahawan Sarawak mengambil bahagian dalam pameran SDSI kali ini, merangkumi pelbagai kluster seperti makanan dan minuman, inap desa, penjagaan diri serta kraftangan.
Antara produk unik yang dipamerkan ialah Terung Asam, Linut, Gula Apong, Kek Lapis Sarawak dan pelbagai produk kraf yang mencerminkan kekayaan budaya dan sumber asli Bumi Kenyalang.
Mega Karnival 3 Dimensi yang berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos 2025 merupakan inisiatif bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang menghimpunkan tiga program utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD), Showcase SDSI dan Hari Peneroka FELDA (HPF).
Program ini bertujuan menghimpun serta memberi pengiktirafan kepada para usahawan tempatan dari seluruh negara dan mengetengahkan potensi industri desa.
Turut hadir semasa majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff.-EDISI UKAS