Festival Sarikei 2025 Perkukuh Perpaduan dan Warisan Komuniti

Disiarkan pada 02 Aug 2025
Sumber Berita: ukas


SARIKEI: Festival Sarikei 2025 yang membawa tema “Unite in Culture, Rich in Heritage” menyerlahkan semangat kebersamaan dan kepelbagaian budaya sebagai tunjang kepada kemajuan rakyat dan negeri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival berprestij ini dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh identiti tempatan di samping melonjakkan potensi Sarikei sebagai hab pertanian moden dan destinasi pelancongan komuniti.

“Dahulunya dikenali sebagai Pesta Nanas dan Buah-Buahan, kini Sarikei Festival muncul dengan wajah baharu, lebih inklusif dan berimpak tinggi, memperkasakan seni, budaya, warisan serta keusahawanan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato' Sri Huang Tiong Sii semasa Majlis Perasmian Festival Sarikei 2025 di Terminal Satu Sarikei di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa tema festival kali ini, membawa mesej yang mendalam yang menyeru masyarakat agar terus mengekalkan kepelbagaian budaya dan memperkukuh perpaduan sebagai tunjang kepada masa depan yang mapan.

Festival Sarikei 2025 dilihat bukan sahaja sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, malah turut mencetuskan peluang baharu dalam sektor pelancongan dan keusahawanan rakyat.

Peruntukan sebanyak RM20,000 juga telan diumumkan bagi membantu kelangsungan program dan aktiviti sepanjang festival berlangsung.

Sarikei Festival 2025 telah bermula 25 Julai 2025 dan akan melabuhkan tirai pada 3 Ogos 2025 dengan pelbagai pengisian seperti pameran agro, ekspo produk tempatan, pertunjukan kebudayaan, pertandingan sukan tradisional serta persembahan seni rakyat.

Acara tahunan ini, terus mengorak langkah sebagai antara festival komuniti paling ikonik di Sarawak, mengangkat Sarikei ke persada yang lebih gemilang dalam pelan pembangunan negeri.

Majlis tersebut turut menyajsikankehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, ADUN Meluan Rolland Duat Jubin, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong, wakil-wakil agensi kerajaan, pihak penaja, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pasukan keselamatan, sukarelawan dan ribuan pengunjung tempatan serta luar yang membanjiri lokasi acara.-EDISI UKAS