SIBU: Kerajaan Sarawak kini melaksanakan projek rintis Ease of Doing Business (EODB) di Sibu sebagai usaha memperkemas serta memudahkan proses pendaftaran dan pelesenan perniagaan.
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Penasihat projek EODB, Datu Hii Chang Kee, inisiatif ini bertujuan membantu orang awam dan komuniti perniagaan dengan menyatukan proses yang sebelum ini memerlukan kunjungan ke tiga lokasi berbeza, kini boleh diselesaikan hanya di satu lokasi iaitu Pusat Perkhidmatan Sarawak (Service Sarawak) atau UTC.
“Sebelum ini, untuk memulakan perniagaan kecil, pemohon perlu ke Pejabat Daerah untuk pendaftaran nama perniagaan, kemudian ke Perbendaharaan untuk lesen perniagaan, dan akhir sekali ke pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk lesen operasi.
“Kini, semua urusan ini boleh dilakukan di satu tempat sahaja — di Pusat Perkhidmatan Sarawak atau UTC.
“Mereka hanya perlu isi satu borang sahaja, dan hanya datang dua kali — pertama untuk memohon dan membayar, kedua untuk ambil lesen,” katanya ketika ditemui media selepas melawat ke UTC Sibu pada Jumaat.
Datu Hii menambah, bagi permohonan yang hanya melibatkan pendaftaran nama dan lesen perniagaan, kelulusan dijangka dalam masa lima hari bekerja.
Manakala permohonan yang turut melibatkan lesen operasi oleh pihak majlis, katanya, ia akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja, tertakluk kepada tahap risiko premis berkenaan.
Menurut beliau lagi, bagi kategori perniagaan berisiko tinggi seperti pusat karaoke, pusat hiburan, pusat tuisyen dan stor simpanan bahan petroleum, tempoh kelulusan dijangka mengambil masa sehingga 30 hari bekerja kerana melibatkan pengesahan dan pemeriksaan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atau Jabatan Pendidikan.
Beliau turut menegaskan bahawa sistem ini hanya dilaksanakan di Sibu dan Kanowit buat masa ini sebagai projek rintis selama enam bulan, sebelum sebarang pindaan undang-undang dilakukan untuk membolehkan majlis menjadi pusat sehenti penuh.
Mengenai waktu operasi, Datu Hii memaklumkan urusan pelesenan diterima dari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 3.30 petang seperti biasa.
Katanya, operasi hujung minggu tidak melibatkan urusan lesen kerana sistem kutipan masih bergantung kepada waktu operasi bank.
Datu Hii berharap perniagaan baharu di Sibu dapat mengambil peluang ini untuk mendaftar dengan lebih mudah dan cepat, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Turut serta dalam lawatan itu, Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak Superi Awang Said, Pegawai Daerah Sibu Wee Teck Min, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, dan Setiausaha Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Ng Siang Wei.-EDISI UKAS