SADONG JAYA: Program Kampung Angkat MADANI anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah dilancarkan di Dewan Perpaduan Kampung Semera Lot, di sini pada Sabtu.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Shapiee dengan penglibatan penduduk setempat serta warga universiti dalam pelbagai aktiviti pembangunan komuniti.
Dalam ucapan Rodiyah, beliau berbesar hati dapat bersama warga UNIMAS dan komuniti Kampung Semera dalam menjayakan program yang menghubungkan aspirasi pendidikan tinggi dengan pembangunan masyarakat luar bandar.
“Kerjasama antara universiti dan masyarakat seperti ini adalah contoh terbaik penglibatan akademik secara langsung dalam membina komuniti luar bandar, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, hormat dan daya cipta,” katanya.
Rodiyah turut merakamkan penghargaan kepada pihak UNIMAS atas pelaksanaan program yang dilihat sebagai platform penting bagi menyemai ilmu dalam bidang kesihatan, pendidikan, teknologi dan keusahawanan, selain memberi peluang kepada pelajar universiti memahami realiti hidup masyarakat luar bandar.
Jelasnya, pendekatan inklusif seperti ini turut menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak berteraskan slogan ‘Sarawak Maju Makmur’ yang menekankan pembangunan progresif, hijau, berdaya tahan dan inklusif bagi memastikan keseimbangan kemajuan antara bandar dan luar bandar.
Justeru, beliau menyeru penduduk Kampung Semera agar merebut peluang yang dibawa program ini sebagai titik permulaan untuk perubahan yang berterusan serta mengangkat potensi kampung dan generasi mudanya sebagai ejen pembangunan negeri dan negara.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program termasuk bengkel literasi digital, pemeriksaan kesihatan percuma, bimbingan akademik untuk pelajar sekolah serta program kebersihan kampung. Inisiatif ini diyakini mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar selaras dengan semangat perpaduan dan keterangkuman yang dibawa oleh Malaysia MADANI. -EDISI UKAS