GEDONG: Program Jualan Tamu yang berlangsung di Kampung Sateman bukan sekadar menjadi platform jual beli malah turut menjadi pemangkin semangat keusahawanan dalam kalangan penduduk luar bandar.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, pelbagai hasil tani, produk kraftangan, makanan tradisional dan sayur-sayuran segar yang dijual oleh masyarakat tempatan mencerminkan potensi besar komuniti desa dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Justeru, beliau mencadangkan agar program jualan tamu ini diperluas ke peringkat zon seperti Zon Pangkor Gedong bagi membolehkan lebih ramai penduduk menikmati manfaatnya.
“Saya serahkan kepada Penghulu dan Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) zon ini untuk berbincang dan merancang pelaksanaan kerana jualan tamu sebegini mampu menjana pendapatan dan merangsang ekonomi tempatan,” katanya demikian ketika berucap dalam Program Jualan Tamu di Kampung Steman pada Sabtu.
Selain itu, Rodiyah menyatakan, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memperkasakan usahawan kecil dan sederhana (PKS) termasuk mereka yang berada di luar bandar melalui bantuan seperti Program Usahawan Desa, peralatan serta bimbingan pemasaran digital.
Ujarnya, inisiatif seperti ini wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja membuka peluang kepada para usahawan kecil, malah memberi pendedahan awal kepada golongan muda tentang keusahawanan.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi tujuan penganjuran program dan keperluan berkaitan. -EDISI UKAS