Ayahanda Timbalan Menteri Kesihatan Kembali ke Rahmatullah

Disiarkan pada 02 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Ayahanda kepada Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni, iaitu Allahyarham Awang Sauni Pengiran Anis, telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.42 pagi di kediaman beliau di Jalan Sim Kheng Hong, off Jalan Bakam pada Sabtu.

Jenazah allahyarham dibawa ke Masjid Darul Istiqamah, Kampung Luak sekitar jam 7.43 pagi bagi urusan solat dan pengkebumian sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Beluboh.

Arwah berusia 73 tahun dan meninggalkan seorang isteri serta tiga orang anak, termasuk Dato Lukanisman yang merupakan anak kedua.

Sanak saudara, kenalan dan rakan-rakan allahyarham mulai berkumpul di masjid seawal jam 7.30 pagi diiringi seramai 48 pelajar lelaki dari SMK Agama Miri turut hadir dan mengalunkan bacaan surah Yasin.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, serta Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah bersama rombongan mereka.

Allahyarham dikenang sebagai seorang insan yang disegani dalam kalangan komuniti setempat dan pemergiannya merupakan kehilangan besar buat keluarga serta masyarakat.-EDISI UKAS

Foto kredit : TVS