BANDAR SERI BEGAWAN: Kerjasama erat antara Kerajaan Brunei Darussalam dan Sarawak terus diperkukuhkan menerusi penganjuran program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Borneo 2025 oleh Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak, Brunei (STATOB).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Awang Amin Liew Abdullah, penganjuran program itu memperlihatkan komitmen Sarawak dalam mengukuhkan kerjasama bilateral bersama Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelancongan, pertukaran sosiobudaya dan pembangunan ekonomi mampan.
Katanya, program itu menjadi platform terbaik untuk menyokong perkembangan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam industri makanan, minuman dan kraftangan.
“Program hari ini melambangkan komitmen nyata untuk mengukuhkan hubungan bilateral antara Brunei Darussalam dan Sarawak dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelancongan, perkongsian sosiobudaya serta pembangunan ekonomi mampan.
“Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Borneo 2025 menyokong perkembangan usahawan tempatan dalam industri makanan, kreatif dan kraftangan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasikan program itu di Ruang Letak Kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Dato Dayang Morliah Awang Daud, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ketua Pegawai Eksekutif STATOB Samat Junai dan kenamaan lain.
Katanya, Kerajaan Brunei Darussalam melihat Sarawak bukan sahaja sebagai jiran se-Borneo, sebaliknya rakan strategik yang bersama-sama mewujudkan komuniti ekonomi berpandangan jauh serta berdaya tahan.
Jelasnya lagi, program itu sangat signifikan kerana penganjurannya serentak dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah yang ke-79.
“Justeru, kita memuji STATOB atas usaha mereka membawa program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Borneo ini di sini.
“Kita sangat tertarik mendengar cadangan untuk menjadikan program ini acara tahunan dengan lebih ramai penyertaan di masa akan datang,” tambah beliau.
Seramai 20 pempamer dari Sarawak dan 18 dari Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam program dianjurkan dari 2 hingga 3 Ogos ini.
Selain pameran makanan, kraftangan dan produk tempatan, pengunjung juga disajikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai etnik di Sarawak dan Brunei Darussalam. - EDISI UKAS