Lawatan Muhibah KMKK Sibu ke Daro Perkukuh Jalinan Akar Umbi dan Semangat Perpaduan

Disiarkan pada 02 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Kunjungan 27 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Bahagian Sibu ke Daerah Daro bukan sahaja menjadi platform silaturahim, malah mencerminkan usaha memperkukuh perpaduan, perkongsian pengalaman dan semangat kekitaan dalam kalangan pemimpin akar umbi.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, menegaskan bahawa pembangunan dan kemajuan tidak boleh dicapai tanpa wujudnya hubungan harmoni antara masyarakat pelbagai latar belakang.

“Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan budaya, hanya dengan adanya semangat muhibah, saling memahami dan toleransi yang tinggi barulah kita mampu menjayakan pembangunan secara inklusif,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra dan jamuan tengah hari di Masjid Al-Muhsiniin, Daro pada Jumaat.

Beliau turut menyambut baik inisiatif lawatan ini yang bukan sahaja menjalin hubungan mesra antara KMKK Sibu dan Daro, malah membuka ruang kolaborasi strategik demi kesejahteraan masyarakat luar bandar.

“KMKK adalah tunjang kestabilan komuniti di peringkat akar umbi.

“Kegiatan seumpama ini mampu menyemarakkan nilai perpaduan dan perkongsian pengalaman yang amat berharga dalam pengurusan masyarakat,” tambah beliau.

Ahmad Johnie turut berharap agar program seumpama ini dapat diperluas dan diteruskan pada masa akan datang agar dapat merapatkan jurang komunikasi antara komuniti, serta memperkukuh hubungan antara pemimpin di peringkat akar umbi.

Acara diserikan dengan pertukaran cenderamata sebagai simbol penghargaan dan komitmen terhadap nilai muhibah yang dikongsi bersama, serta sesi interaksi santai yang memperkukuh semangat kekitaan antara pemimpin tempatan.-EDISI UKAS