BINTANGOR: Sambutan Hari Wanita Tahun 2025 Peringkat Daerah Meradong berlangsung meriah di Dewan Pejabat Daerah Meradong pada Sabtu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, Sambutan Hari Wanita disambut di seluruh dunia dengan pelbagai pengisian program bertujuan untuk meraikan kejayaan dan pencapaian kaum wanita dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata, di peringkat antarabangsa, kebanyakan negara terutamanya negara-negara maju menyambut Hari Wanita pada 8 Mac setiap tahun dengan tema-tema khas bagi mengangkat kepentingan untuk memberikan pengiktirafan kepada peranan dan sumbangan kaum wanita di seluruh dunia.
“Kita menyambut Hari Wanita dengan pelbagai pengisian program untuk meraikan kejayaan dan pencapaian wanita, serta memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan wanita dalam kemajuan masyarakat dan negara,” katanya semasa berucap.
Beliau turut menekankan bahawa sambutan ini bertujuan mengiktiraf dan menghargai peranan wanita dalam pembangunan negara, mendaya upaya peranan semua pihak dalam memperkasa wanita serta menyebarluaskan maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai peluang, isu semasa dan cabaran yang dihadapi wanita masa kini.
Sambutan peringkat daerah kali ini dimulakan dengan sesi senamrobik bersama lebih 100 orang wanita.
Selain itu, acara turut dimeriahkan dengan pembukaan enam gerai jualan usahawan wanita, sebagai salah satu inisiatif mempromosikan keusahawanan wanita tempatan dan membantu memperluas pasaran produk mereka.
Hadir sama, Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang dan Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Daerah Meradong, Ting Ling Ling serta Penghulu Hashim Abang Solhi.-EDISI UKAS